Advertisement

BUKIT MALAWATI, KUALA SELANGOR. PERJALANAN YANG TIDAK DIRANCANG.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Welcome to Kuala Selangor
Lokasi ini pula berhadapan dengan Sky Mirror Jetty.
Memang ada monyet juga dikawasan ini.

Baru-baru ini, tepatnya pada 4 November 2021 (Hari Deepavali) yang mana merupakan public holiday dan kebetulan Cik TK dan Encik L cuti, kami merancang nak pergi jalan-jalan disekitar kawasan Bangi. Salah satu rancangannya ialah nak ke Jalan Jalan Japan. Lama sudah tak pergi cawangan Bangi yang terletak di bangunan Kipmall Bangi. Sebelum ini biasanya Cik TK pergi ke cawangan Shamelin yang terletak dibangunan 1Shamelin di Maluri.

Kemudiannya, terdapat perubahan rancangan yang mendadak secara tiba-tiba. Encik L kata "Jom ke Kuala Selangor? Pergi Bukit Malawati". Dengan pantas Cik TK kata "Jom. Biar saya drive!". Ngeh ngeh tersenyum lebar terus tukar drebar. Haha Cik TK memang excited bab drive jauh-jauh ni. Seronok!! Lagipun dah lama tak drive jauh, sejak zaman Covid19 ni, biasa paling jauh pun sampai Gombak saja, kira-kira hanya 40 minit dari rumah dan ianya untuk urusan kerja. Boleh dikatakan 1 jam setengah juga (rasanya, eh ke lebih ya?) sampai ke destinasi di Bukit Malawati ni. Jam 1.30 petang macam tu kami tiba. Sampai saja terus parking dikawasan parking kereta yang telah disediakan. Sebelum Cik TK teruskan, mari Cik TK cerita secara ringkas sejarah Bukit Malawati ni.

Rumah Api Kuala Selangor
Rumah Api di atas Bukit Malawati, Kuala Selangor

Sedikit Sejarah Bukit Malawati


Menurut sejarah ketika Sultan Ibrahim memerintah, Bukit Malawati ini ditakluki pihak Belanda pada Julai 1784. Kemudian pada 28 Januari 1785, dengan bantuan adinda Sultan Ibrahim iaitu Dato' Penggawa Permatang Mahabijaya (Penggawa Tua) dan Bendahara Adb. Majid Pahang telah menyerang dan menghalau pihak Belanda dalam satu malam sahaja dalam serangan yang bermula selepas waktu Isyak dan menawan bukit ini sebelum fajar menyinsing.


Pengalaman di Bukit Malawati, Kuala Selangor


Sebenarnya sampai sini tujuannya nak pergi tengok Rumah Api tu. Tak tahu pun ada macam-macam lagi di sini. Bila tengok peta di dekat kawasan parking tu rupanya ada banyak yang kita boleh lawati. Antaranya seperti Rumah Api, Makam Diraja, Perigi Beracun, Muzium Sejarah Kuala Selangor, Tangga Seratus dan sebagainya. Yeay kalau sempat nak pergi tengok semua!!!

Peta kawasan bukit Malawati

Mula-mula sekali apabila mendaki naik kita akan jumpa kelompok spesis Trachypithecus cristatus atau nama dalam bahasa melayunya lotong kelabu di sini. Unik spesis primat ni. Sebabnya semasa lahir bulu bayinya berwarna oren dan akan berubah warna menjadi sama ada warna hitam, kelabu atau coklat kelabu macam tu. Kelihatan seperti warna silver juga, mungkin sebab itu namanya 'silvery monkey' atau 'silvered leaf lutung' dalam bahasa inggeris. Selama kami di sini, kelihatan mereka semuanya jinak dan banyak para pengunjung di sini yang memberi mereka makanan berupa kacang dan pisang, bahkan pada masa itu ada seekor yang Cik TK nampak yang sedang memakan sayur yang nampak seperti kacang buncis. Datang dari mana entah.

Cik TK tengok tangan dia, dia pula tengok tangan Cik TK. Fist bump sikit jom?

Ini yang Cik TK beritahu tadi, anaknya berwarna oren. Unik kan?

Yang ini pula anaknya sudah berubah warna. Nampak macam kelabu silver juga kan mak dia?

Setelah rasa puas melihat-lihat spesis lotong ini, kami teruskan perjalanan naik ke atas. Oh ya, ada sebahagian jalan ditutup kerana sedang dibaikpulih, jadi tiada perkhidmatan tram buat sementara waktu. Sehingga 19 November 2021 kalau tidak silap. Maka mendaki sajalah kita ke atas ya. Exercise bak kata orang. Kami pun ikut saja jalan naik ke atas dan terus terjumpa Makam Diraja. Tak masuk pun, sebab tengok pagarnya bertutup. Tengok dari luar pagar saja. Makam ini menempatkan 3 makam Sultan Selangor yang pertama iaitu Sultan Salahuddin (1742-1778), Sultan Ibrahim (1778-1826) dan Sultan Mahmud (1826-1857). Di kawasan makam ini juga terletaknya Meriam Penggawa (boleh nampak meriam tu dari luar pagar) yang dibalut dengan kain kuning dan dikatakan pernah meletup sendiri pada tahun 1961 dan 1978. Lupa pula Cik TK nak ambil gambar meriam penggawa dan bangunan yang menempatkan makam tu. 😅

Papan tanda dipintu masuk makam diraja.

Kemudian berjalan ke atas lagi kami tiba di Busut Malawati. Di atas busut ini kelihatan dari bawah ini ada sebatang pokok yang tidak berdaun dan sebuah pondok. Dikatakan Sultan Selangor pada zaman dahulukala bersemayam di sini untuk berehat dan menyaksikan ayam bersabung. Di sini kami bersantai dahulu sambil ambil-ambil gambar. Kemudian baru teruskan perjalanan.


Kemudiannya kelihatan menara pencawang telekomunikasi, bersebelahan dengan tangga untuk naik ke kawasan Batu Hampar. Ketika tiba di Batu Hampar berkenaan, mula-mula tidak menjangka sejarahnya. Dok perhati sambil kagum dengan kedudukan batu berkenaan yang terhampar cantik sekian lama di sana. Kemudiannya baru kami baca papan tanda info mengenai batu hampar ini. Rupanya ianya digunakan untuk memancung penderhaka. Okeii rasa seram sekejap. 😅

Tingginya menara pencawang ni!

Inilah dia batu hampar. Entah kenapa tiba-tiba masa ini teringat salah satu adegan The Chronicles of Narnia di mana Aslan mati dibunuh oleh Witch di Stone Table. Entah kenapa teringat. Tak ada kaitan pun...
Papan informasi mengenai Batu Hampar ini

Dari kawasan Batu Hampar ini, kami teruskan perjalanan dan tiba di kawasan berdekatan Meriam Sejarah, BaitulHilal, Rumah Api dan Muzium Sejarah Kuala Selangor. Kalau tengok peta sepatutnya ada jumpa Tangga Seratus. Tapi tidak kelihatan pula. Kami tak perasan mungkin. Bangunan BaitulHilal ini dibina untuk melihat anak bulan untuk menetapkan tarikh permulaan berpuasa bulan Ramadhan dan juga Hari Raya (Syawal dan Raya Haji). Ada beberapa buah meriam juga di kawasan ini. Pemandangan dari atas ini sungguh mengujakan. Ada nampak laut juga, yang mana ianya adalah Selat Melaka.

Kalau nak tahu, Rumah Api Kuala Selangor atau nama lainnya Rumah Api Altingsburg ini mula dibina pada tahun 1907 setinggi 83 meter dari aras laut dan 27 meter dari aras darat dengan lampu yang boleh memancar sehingga 56km. Rumah api ini masih menjadi pedoman kapal laut di Selat Melaka dan diuruskan oleh Jabatan Laut Malaysia (JLM) Selangor. Berdekatan rumah api ini ada Muzium Sejarah Kuala Selangor. Muzium ini wajib dikunjungi terutama mereka yang minat dengan sejarah. Di muzium ini terdapat sejarah-sejarah Kuala Selangor dan juga sejarah kawasan dan monumen-monumen yang ada di sekitar Bukit Malawati ini.

Kelihatan beberapa buah meriam di kawasan yang pemandangannya cantik ini.

Salah satu meriam di kawasan ini.

Best pemandangan kat atas ini.

Di BaitulHilal inilah lokasi melihat anak bulan.
Oh ya, ada pakcik jual air dan cendol di atas ni. Hilangkan dahaga sebentar dengan cendol di sini.

Pintu masuk ke Muzium Sejarah Kuala Selangor.
Salah satu tempat wajib singgah bagi mereka yang ingin tahu sejarah Kuala Selangor ini.

Pemadam api. Tengah bayangkan mesti berat pemadam api ini.

Khusyuk Cik TK melihat rumah api yang tersergam indah ini

Apabila kami keluar dari muzium, kelihatan cuaca mendung. Kelihatan seperti akan turun hujan. Maka Cik TK dan Encik L terus turun sahaja walaupun ada monumen lain yang kami belum jumpa seperti Telaga Tujuh, Perigi Beracun, dan Tangga Seratus. Akan tetapi ketika ini ramai pula yang naik ke atas. Mungkin kawasan ini banyak dikunjungi di waktu petang sebenarnya.

Setelah turun dari Bukit Malawati ini kami menaiki kereta dan hajatnya ingin pergi mencari makan. Akan tetapi, kami terjumpa jeti untuk ke Sky Mirror dan singgah dulu untuk tengok-tengok. Rupanya bulan hanya ada trip untuk ke kawasan Sky Mirrormalah ada trip untuk Eagle feeding, melihat firefly (kelip-kelip) dan juga blue tears tour (fenomena bioluminescence yang menjadikan air kelihatan bercahaya biru). Akan datang nanti bolehlah ke sini pula!

Korang akan terjumpa monumen ini ketika keluar masuk kawasan ini.
Hati-hati jika ingin berfoto di sini ya, kerana ini kawasan jalan kenderaan lalu lalang.

Sky Mirror Jetty.

Masih di pintu masuk Sky Mirror Jetty. 

Balik kepada topik mencari makan. Setelah bergambar di kawasan luar jeti Sky Mirror ini kami teruskan perjalanan (ditemani hujan) mencari lokasi yang kami rasa menarik untuk kami singgah makan. Setelah berpusing-pusing merata-rata akhirnya kami berhenti di Restoran Patin Pahang Menangis di kawasan Assam Jawa. Tak tahulah kenapa namanya sebegitu tapi yang kami suka mengenai tempat ini ialah ia ada tempat duduk bersila dan servisnya pantas. Kami tak tunggu lama pun untuk makanan kami tiba. Dari segi rasa juga pada Cik TK puas hati. 

Restoran Patin Pahang Menangis.

Menu pilihan kami. Untuk minuman Cik TK order Limau Asam Boi
dan Encik L pula order Epal Asam Boi.

Hidangan ikan patin masak gulai tempoyak.

Kangkung belacan.

Telur dadar.

Ayam goreng tempoyak.

Selesai makan, kami berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan. Selepas maghrib, kami teruskan perjalanan kembali menuju Kuala Lumpur. Rasa sekejap je kami di sini. Lain kali ada kesempatan nak datang lagi untuk Sky Mirror dan tengok kelip-kelip. Selain itu nak pergi ke Sekinchan juga nak tengok padi dan intai-intai makanan laut segar!




Rujukan sejarah: [1], [2], [3], [4]


Catat Ulasan

10 Ulasan

  1. OM tak pernah sampai lagi kat sini.. nak pegi sky mirror tu sampai kesudah tak perginya.

    BalasPadam
  2. last saya ke sini 2017, seronok dapat naik ke atas bukit di kawasan meriam tu

    BalasPadam
  3. Baru nak tanya kenapa tak naik tram, rupanya sedang baik pulih. Kagum dengan Cik TK sebab suka drive. Saya ni bab driving la terpaling malas sekali

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hehe minat setiap orang lain-lain kak sal. Drive itu seronokkkk!

      Padam
  4. Selalunya kalau x plan mmg menjadi kan cik TK.. hehehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul tu kakmim.. biasa plan-plan mesti jadi lain.. hehehe

      Padam
  5. harap suatu hari nanti dapat pergi ke sini

    BalasPadam
    Balasan
    1. InsyaAllah suatu hari nanti mrhanafi akan sampai ke sana

      Padam

Jangan malu-malu untuk tinggalkan komen dan jejak ya! Nanti Cik TK blogwalking ke blog korang pula!