Advertisement

INFO: SERBA SEDIKIT MENGENAI HARI GAWAI

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Dalam entri kali ini Cik TK ingin mengupas secara ringkas mengenai sambutan Hari Gawai Dayak di Sarawak. Terlebih dahulu Cik TK ingin mengucapkan Selamat Hari Gawai, Gayu Guru Gerai Nyamai kepada semua warga peribumi Sarawak meraikannya pada 1 Jun setiap tahun! 

Hari Gawai Dayak

Hari Gawai atau Gawai Dayak merupakan pesta menuai yang mana ianya disambut setiap 1 Jun untuk meraikan tamatnya musim menuai padi dan bermulanya musim menanam padi yang baru. Manakala ayat 'Gayu Guru Gerai Nyamai' merupakan bahasa Iban yang bermaksud panjang umur, kesihatan yang baik dan sentiasa sejahtera. Perayaan ini disambut oleh peribumi Dayak yang terdiri dari kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu (kaum Kayan dan Kenyah) serta komuniti Dayak di Kalimantan Barat.


SEJARAH PERAYAAN HARI GAWAI

Hari Gawai mula disambut secara besar-besaran setelah diisytiharkan sebagai perayaan rasmi di Sarawak pada 25 September 1964. Ini bermaksud sambutan peringkat negeri yang pertama diraikan pada 1 Jun 1965. Sebelumnya, Hari Gawai dipanggil sebagai Hari Sarawak oleh pemerintahan Rajah Brooke yang enggan mengiktiraf perayaan tersebut.


CARA SAMBUTAN HARI GAWAI

Sebelum perayaan, persediaan dimulakan dengan proses penapaian air tapai atau disebut sebagai 'tuak' yang kebiasaannya akan memakan masa lebih kurang sebulan. 'Tuak' ini merupakan sejenis minuman tradisi komuniti Dayak dan akan dihidang kepada para tetamu yang datang semasa hari perayaan.

Semasa perayaan, warga kaum ini akan mengenakan pakaian atau busana tradisi setiap kaum masing-masing yang menunjukkan setiap corak dan motif yang cukup unik. Anak-anak gadis pula berhias dengan barangan perhiasan perak dan manik yang mereka warisi secara turun temurun.

Seperti sambutan perayaan lainnya yang ada di Malaysia ini, pada Hari Gawai mereka yang berada di kota pulang ke kampung mereka untuk berada bersama ahli keluarga mereka masing-masing untuk meraikan perayaan ini. Disamping itu, terdapat juga amalan kunjung-mengunjung ke rumah saudara mara dan sahabat handai untuk mengeratkan tali silaturrahim antara mereka.

Tetamu yang datang akan dihidangkan dengan air tuak, kuih muih tradisi orang Dayak (seperti 'sarang semut', 'acuan', 'kuih penyaram', 'kuih sepit', 'kuih jala' dan sebagainya yang telah disediakan oleh kaum wanita Dayak sebelum perayaan), dan juga ayam pansuh bersama lemang pulut. 

Selain daripada upacara-upacara tertentu tidak kira sama ada di rumah panjang mahupun di bandar yang diamalkan sewaktu perayaan ini (seperti persembahan makanan dan tuak kepada para dewa untuk hasil tanaman yang baik dan lain-lain upacara), sambutan Hari Gawai juga dimeriahkan dengan pertandingan ratu cantik, acara persembahan muzik dan tarian tradisional, joget, karaoke dan sebagainya.




Rujukan: 12, 3


Remark: Harap maaf jika ada kesilapan atau kesalahfahaman info dalam penulisan entri ini. Mungkin kalian yang lebih arif dengan perayaan ini boleh komen di bawah untuk sebarang pembetulan. Terima kasih



Catat Ulasan

0 Ulasan